Ahad, 28 Disember 2008

Ke Persada Dunia

Program Dokumentari Finas 2009

Apa Yang Dicari?
  • 13 cerita (30 minit) dan 13 cerita (60 minit) dengan tajuk berbeza yang memaparkan keunikan Malaysia dari pelbagai aspek seni budaya dan warisan.
  • Yakinkan kami dengan cerita yang mampu menarik penonton Malaysia & antarabangsa, sesuatu yang mampu membuat penonton berfikir sejenak.
  • Cerita yang mengetengahkan karakter dalam situasi drama, konflik yang memerlukan penyelesaian peleraian. Unsur dramatik adalah faktor yang membezakan antara dokumentari dan program video pendidikan.
  • Memiliki unsur drama dalam penceritaan ia harus berlandaskan fakta, kajian, realiti dan lojik.
  • Subjek yang mencerminkan identiti Malaysia dari sudut pandangan sosioekonomi, sains, teknologi, hidupan liar atau budaya.
Ok. Itulah ciri-ciri dokumentari yang diperlukan oleh pihak Finas. Bagi pendapatan saya dokumentari begini adalah amat menarik kerana ia mempunyai ciri-ciri dokumentari ala-National Geography dan Discovery Channel.

Untuk menyiapkan proposal dokumentari seperti ini sememangnya memerlukan kaji-selidik dengan fakta-fakta yang tepat dan benar.

Tetapi untuk membuat kaji-selidik ia sudah tentu melibatkan kos untuk perjalanan, makan dan penginapan. Besar kecil kos itu tergantung jauh dekat tempat kaji-selidik itu.

Ada beberapa produser yang benar-benar berminat dan menghubungi saya untuk mendapatkan proposal dokumentari ini.

Tetapi masalahnya, mereka hanya berkehendakkan proposal itu secara percuma. Alasannya kalau dah sah dapat, bolehlah mereka keluarkan belanja.

Maksud mereka perbelanjaan untuk membuat kaji-selidik itu kita kena tanggung sendiri.

Alasan saya, kalau macam itu lebih baik kita buat sendiri dan hantar sendiri ke Finas.

Khamis, 25 Disember 2008

Filem 'Pahlawan Mat Kilau'

Rodzee A. Razak

Filem genre epik 'Pahlawan Mat Kilau' akan memulakan pengambaran pada bulan Mach 2009 nanti. Filem terbitan Lagenda Studios Sdn Bhd ini akan menggunakan khidmat Rodzee A. Razak selaku pengarahnyaa.

Mengikut saudara Rodzee A. Razak buat masa ini mereka sedang sibuk mengadakan casting dalam membuat pilihan dan mencari pelakon watak utama sebagai Mat Kilau pada usia mudanya.

Apabila ditanya kenapa tidak pilih pelakon-pelakon yang sudah establish sekarang ni. Katanya, penonton-penonton sudah dapat menilai lakonan pelakon-pelakon yang ada sekarang. Beliau mahukan satu kelainan pada watak itu. Beliau mahukan seorang yang benar-benar seperti Mat Kilau.

Skrip filem Pahlawan Mat Kilau ini ditangani oleh Capt. (B) Sudirman Ahmad. Dalam mengasilkan karya itu beliau telah banyak dan mengambil masa yang agak panjang dalam membuat research untuk mendapatkan inti-pati cerita yang sebenar-benarnya. Lagipun, setiap cerita yang tercatat itu adalah fakta dan perlu mendapat keizinan dan dipersetujui oleh cucu cicit Mat Kilau sendiri.

Cerita yang berkisarkan perjuangan seorang anak muda Melayu menentang penjajahan British itu akan diadakan pengambaran di sekitar negeri Pahang dan Perak.

Dalam menyiapkan filem epik sedemikian ia melibatkan kos yang agak besar. Apatah lagi dengan penglibatan ramai pelakon-pelakon terkenal sebagai pelakon pembantu. Selain itu ramai pelakon-pelakon watak Mat Salih akan turut terlibat dalam menjayakan filem ini.

Kos keseluruhan filem ini dijangka mencecah RM10 juta. Ini termasuk menyediakan set pengambaran, costume dan prop bersesuaian pada zaman itu. Mereka akan mendapatkan seorang pakar tempatan yang pernah membuat set untuk filem Anna and The King suatu masa dulu dalam menyediakan untuk Pahlawan Mat Kilau ini.

Selasa, 11 November 2008

Kahwin Anak Mak Mah




Dah 3 bulan lalu Mak Mah dah ingatkan saya supaya datang ke majlis perkahwinan anak perempuan pada 9hb November. Dia memang nak sangat kami satu team krew majalah wanita 'Cahaya Permata' datang ke majlis itu. Supaya tidak menghampakan dia, saya terpaksa minta orang rumah buat catatan dalam organiser dia. Sebab saya ni bukan pelupa, cuma banyak kerja yang nak buat, takut terlupa pula.

Kemudian jumpa lagi dengan Mak Mah ketika saya datang ke lokasi penggambaran filem 'Err Hantu' arahan Majid Salleh. Ketika berada depan kamera pun dia ingatkan saya supaya datang juga ke majlis anaknya nanti. Sehinggakan pelakon A.Galak dan Majid Salleh terpinga-pinga.

Tiba pada harinya minggu lalu, team krew saya pulak ada shooting outstation. Mahu tak mahu terpaksalah saya dan keluarga menghadiri majlis itu.

Setiba kami di majlis itu yang bertempat di sebuah rumah baru Mak Mah, memang terkejut kerana ia seperti majlis perkahwinan anak orang ternama dengan tetamu yang begitu ramai. Adlin Aman Ramli menjadi mangsa diserbu peminat-peminat yang ingin bergambar bersamanya.

Sabtu, 8 November 2008

Bangsa Melayu

Bangsa Melayu bukan saja menjadi bangsa yang terbesar menganut agama Islam, malah Melayu juga menjadi umat Islam yang paling sederhana di dalam kehidupannya. Perlu diingat sejarah bangsa Melayu amat panjang dan wilayahnya juga amat luas. Melayu bukan saja terdapat di Malaysia, tetapi juga di seluruh pelusuk bumi.

Apa yang menarik ialah perbezaan taraf dan keadaan hidup Melayu di luar Malaysia dengan Melayu di Malaysia. Kehidupan Melayu di Malaysia adalah lebih sempurna dari segala segi jika dibanding dengan orang Melayu yang hidup di luar Malaysia. Jika melihat pada kepayahan hidup orang Malayu di luar Malaysia, pasti kita akan berasa insaf dan bersyukur kerana dilahirkan sebagai rakyat Malaysia.

Namun walau apapun keadaan Melayu tetap Melayu seperti mana dijelaskan oleh Raja Iskandar Shah, "...Inilah bangsaku Melayu tidak rebah dan patah dilanda badai dan tidak musnah terbakar."

Orang Melayu di mana mereka berada tetap pertahankan agama dan budaya mereka, itulah satu persamaan yang pasti akan ada di antara Melayu di Malaysia dan di luar Malaysia walau adakalanya keadaan sekeliling tidak sebaik di Malaysia.

Kesimpulannya Melayu di Malaysia senantiasa yang terbaik dan Melayu yang berada di luar Malaysia senantiasa mengkagumi Melayu di Malaysia. Perjuangan orang Melayu bukan saja untuk mempertahankan agama Islam, malah mereka turut berjuang untuk memastikan budaya mereka terus kekal abadi buat generasi yang akan datang.

Jumaat, 7 November 2008

Melayu

Melayu ialah dokumentari yang menyelusuri kisah kehidupan bangsa Melayu setelah menerima Islam sebagai agamanya. Ia akan memaparkan kehidupan bangsa Melayu di setiap daerah. Kisah mereka bukan sahaja dipaparkan dari sudut agama Islam, bahkan juga dari sudut sosio-budaya, ekonomi dan politik.

Dokumentari ini sesuai untuk tayangan umum kerana ianya membicarakan tentang kebesaran Islam di dalam membentuk sebuah bangsa untuk menjadi satu masyarakat yang bertamadun berperadaban tinggi.

Mengapa Melayu menjadi tajuk kepada dokumentari ini? Jawapnnya mudah, bila disebut Melayu maka sudah pasti bahawa individu itu adalah Islam. Di Malaysia perkara ini telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Manakala bagi Melayu di luar Malaysia walaupun tidak mempunyai perutukan undang-undang tetap, difahamkan bahawa Melayu itu adalah Islam dan Islam itu adalah Melayu. Sebagai contoh di Indonesia ada ungkapan berbunyi "Liaulah mengalih jadi Melayu", ungkapan ini serupa seperti "dia dah masuk Melayu". Kesimpulannya di mana-mana pun Melayu itu sudah semestinya Islam!

Dokumentari ini akan memaparkan bagaimana orang Melayu walau di dalam keadaan tertekan akan terus mempertahankan keimanan mereka. Ini dapat di lihat dari beberapa contoh seperti di Indonesia, Thailand dan Selatan Filipina. Penjajahan beratus tahun oleh kuasa barat di wilayah-wilayah Melayu tidak berjaya untuk merobohkan benteng keimanan bangsa Melayu baik di Malaysia mahu pun di luar Malaysia.

Program ini akan memaparkan kehidupan bangsa Melayu dan agama Islam sebagai 2 entiti yang tidak boleh dipisahkan.

Jumaat, 31 Oktober 2008

Iklan Kopi Old Town









Kali ini gua berhenti kutuk orang sekejap. Gua nak kongsi sikit pengalaman gua terlibat dalam penggambaran filem iklan untuk Old Town White Coffee di Kuala Kubu Bharu pada 30hb Oct. lalu.

Call time kami pukul 4.30 pagi di pejabat produser di Jalan Peel. Gua malam tu dapatlah lelap mata sekejap. Bila tersedar jam dah pukul 3.00 pagi, gua terpaksa cepat-cepat mandi dan minta orang hantar gua ke sana.

Pukul 5.30 pagi kami mula bergerak ke pekan Kuala Kubu Bharu dengan sebuah bas persiaran dan 4 buah van.

Tiba di kawasan letak kereta Majlis Daerah Kuala Kubu Bharu dah pukul 7.00 pagi. Mak datok...!!! Terkejut gua tengok punyalah ramainya talent-talent extra untuk iklan ini. Bila sarapan dah ada disediakan, masing-masing macam dah sepuluh hari tak makan, semuanya berebut-rebut. Adat manusia...!!

Penggambaran bermula pukul 8.00 pagi dan selesai semuanya pukul 7.00 petang di sebuah tasik di Ulu Yam.

Sini gua abadikan beberapa keping gambar yang gua tangkap semasa penggambaran itu.

Rabu, 22 Oktober 2008

Macam-macam character




Baru-baru ini gua terjumpa Yang Kassim, seorang kawan lama yang banyak berlakon filem dan drama memegang watak jahat. Dia bagi pada gua profile dirinya kepada gua.

Rupa-rupanya dia ni boleh bawa macam-macam watak. Pengalaman beliau juga telah banyak berlakon dalam filem antarabangsa. Salah satunya, filem 'Anna and the King' yang telah dibuat di negara kita dulu.

Dalam pada itu juga, rupa-rupanya dia ni pandai cakap Tamil. Huh...Prakash, Ravi, Senti..., lu orang jangan salah cakap depan Yang Kassim.

Untuk tatapan anda, gua siarkan beberapa keping beliau dalam blog gua ni.

Rabu, 15 Oktober 2008

Skrip Untuk Dapatkan Modal

Gua baru berbincang dengan seseorang yang mengaku dirinya produser filem. Oleh kerana dia berkehendakkan sebuah skrip untuk filem, gua pun bergegas pergi berjumpa dia.

Dalam perjalanan dari Subang Jaya ke Ampang, gua sudah congak-congak bayaran skrip yang akan gua perolehi. Setidak-tidak pun dapat 25% advance pun sudah memadai.

Tetapi gua hampa setelah berjumpa dia. Rupa-rupanya dia nakkan skrip gua untuk dapatkan modal dari orang dalam menerbitkan filem itu.

Rabu, 10 September 2008

Tak bayar pelakon

Semalam gua dah mengamuk giler. Kesabaran yang gua pendam selama ini akhirnya meledak. Hanfon yang gua guna bercakap dengan seorang executive producer sebuah production house merayu-rayu minta gua pelankan suara. Suara gua meledak bagaikan meletusnya sebuah gunung berapi.

Dah sebulan lebih gua dan kawan-kawan berlakon, tapi tak dapat bayaran lagi. Sapa yang tak marah.

Masa habis berlakon kami ingat produser akan terus bayar. Tapi katanya seminggu lagi baru bayaran akan dibuat. Dah sampai seminggu, tunda pulak seminggu lagi. Dah tu, cukup bulan pulak kami akan dibayar.

Dah genap sebulan, suruh pulak gua tunggu seminggu lagi. Dah sampai masa, semalam gua telefonlah tanya bila kami ambil cek.

Alih-alih dia buat cerita katanya stesyen TV reject drama itu kerana ada masalah teknikal. Gua pun cakap pada dia itu masalah teknikal bukan masalah kami. Kami berlakon lu kena bayar. Tapi dia turut pula salahkan lakonan kami.

Bila salahkan lakonan kami, gua pun melentinglah. Apa tidaknya. Kalau lakonan kami tidak betul, sepatutnya masa itu pengarah kena tegur dan boleh re-shot balik.

Tapi pengarah dan camera man dari Singapura pulak duk asyik nak experiment shot. Gua tengok dah ada yang tak kena. Tapi bila dipanggil untuk berlakon, kita hanya berlakon. Kita tak nak ganggu tugas pengarah. Akhirnya shot yang dia expriment itu semuanya hancur.

Bila gua dah marah pasal bayaran, executive producer inipun turut marah gua balik. Gua cakap, lu tak bayar gua dan sekarang lu tengking gua pulak, tak apa. Besok gua boleh lapor pada SENIMAN dan KARYAWAN. Gua akan bawa perkara ini ke atas.

Akhirnya pagi tadi, produser syarikat produksi ini seorang gadis pelakon yang tinggi lampai telefon gua minta maaf sikap biadap executive producer. Dia minta tolong gua beri kerjasama untuk re-shot balik dan janji akan bayar selepas itu.

Inilah masalah besar gua. Bila perempuan dah berlembut, gua kalah.

Ahad, 7 September 2008

Terima kasih ZBH


Terlanjur gua celupar, biar gua terus celupar. Biarlah kawan-kawan nak tuduh gua mulut celupar pun. Gua dah tak kisah. Mana tau esok lusa gua mati, gua dah tak boleh celupar lagi.

Tapi celupar gua kali ini ialah hendak mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan penghargaan dari gua kepada ZBH.

Kalau tidak kerana dia, gua tak jadi penulis. Bukan hanya sekadar penulis blog. Tapi penulis kat majalah kereta/motor keluaran CESB. Selepas itu gua jadi columnist ruangan kereta/motor untuk akhbar Utusan Malaysia.

Selepas itu lagi gua berjaya pula jadi penulis skrip drama dan filem. Selepas itu lagi...lagi gua dapat siapkan sebuah manuskrip novel setebal 500 mukasurat. Tapi tak ada penerbit yang sanggup terbitkan novel gua itu. Dan sekarang gua menulis kat blog pula. Merewang dan merapu. Tapi banyak lojiknya.

Gua masih ingat sekitar akhir 80an ketika berkunjung ke pejabat ZBH. Dia beriya-iya minta gua sumbangkan artikel untuk majalah kereta/motor yang bakal diterbitnya. Gua ketawa terkekeh...

Gua cakap dia, lepas sekolah (sekolah rendah aje) gua tak pernah menulis sepucuk surat pun. Girlfren hantar surat pun gua tak pandai nak balas. Bukan tak nak balas. Tapi tak pandai nak tulis. Karangan gua kat sekolah dulu pun penuh cikgu conteng dengan dakwat merah. Itu kerana gua terlampau sangat pandai menulis. Hehehe.....

Bila gua kerja di syarikat korporat pula (bukan keparat tau), semua surat-surat ditulis dan ditaip oleh secretary yang comel. Gua hanya baca dan sign aje...!!

Jadi bila ZBH suruh gua menulis, gua terus ketawa hingga terguling-guling atas kerusi aje tau!

ZBH tak puas hati. Matanya merah menyala merenung gua. Dia marah betul nampaknya. Kemudian dia keluarkan beberapa naskah majalah kereta/motor dari UK dan US. Dia tunjuk kolumn uji-pandu kereta dan motosikal. Katanya yang tulis kolumn itu bukan penulis, tapi mereka itu macam gua.

Tak payahlah gua cerita gua ni orang macam mana. Biar ZBH aje yang tau...

Jadi untuk permulaan, dia minta gua buat satu artikel macam mana gua terlibat dalam satu arena.

Tak payahlah gua cerita arena apa. Biar ZBH aje yang tau...

Balik rumah gua mula menulis. Berdozen juga gua pergi beli kertas kajang kat kedai buku. Hingga Minah comel kat kedai tu ingatkan gua buat kapal terbang kertas.

Diakhirkan celoteh, selepas empat bulan gua berjaya siapkan satu rencana. Gua tersengih-sengih pergi hantar pada ZBH.

Alih-alih bulan sekali lagi rencana gua itu keluar dalam majalah. Gua punyalah seronok hinggakan gua nak beli semua majalah dia terbitkan itu. Tapi tak boleh katanya kerana dia dah ada kontrek dengan pembekal. Dia bagi pada gua tiga naskah majalah itu.

Gua punyalah seronok hinggakan ketika turun tangga pejabatnya gua terasa ada sayap boleh terbang.

Itulah alkisah 20 tahun dulu sehingga gua berjaya menjadi seorang penulis dan mendapat rezeki yang halal daripada hasil karya gua.

Terima kasih banyak Zainal Buang Hussein a.k.a ZBH. Gua kenang dan gua hargai jasa mu hingga ke akhir hayat gua. Wasallam.

Dana FINAS

Bak dana FINAS ni gua bukannya seorang yang pakar. Tapi apa yang gua tau kerajaan ada menyediakan peruntukkan sebanyak 50 juta ringgit setahun untuk industri perfileman Malaysia. Ini katanya diuruskan oleh FINAS.

Gua pun seronok dan bangga juga dengan peruntukkan kerajaan ini. Setidaknya produser kita bolehlah meraih rezeki dan glamour dalam menerbitkan filem. Dengan peruntukkan sejumlah itu kalau dicongak secara bodoh pun kita dah mampu terbitkan 33 buah filem setahun dengan anggaran bajet 1.5 juta bagi sebuah filem.

Dengan 33 buah filem setahun kira dah okay tu...! Setidaknya setiap bulan kita ada antara dua atau tiga buah filem Malaysia ditayangkan di pawagam. Itu dah kira meriah.

Tetapi yang hairan bin ajaib atau ajaib binti heran, adakah kita menerbitkan filem sebanyak itu setiap tahun? Adakah kesemua peruntukkan kerajaan itu disalurkan kepada produser filem?

Mungkin ada kot! Gua tak berani komen sangat kerana gua bukan arif tentang itu. Nantikan tak pasal-pasal gua di ban oleh FINAS. Usahkan nak masuk pejabat FINAS, masuk kawasan FINAS dengan kereta antik gua pun sudah kena halau.

Tapi gua adalah sekali pernah ikut satu produser buat presentation skrip filem di pejabat FINAS. Setelah dibuat presentation secara details (sebenarnya rekaan produser untuk menyakinkan FINAS) siap dengan slide show, pihak panel FINAS terus bersetuju dan luluskan pinjaman dana itu.

Produser pun bukan main seronok lagi. Maklumkan baru pertama kali hendak menerbitkan filem. Dengan lulusnya pinjaman itu, produser sudah mula teneng-teneng nak upgrade pejabatnya dan tukar kereta baru.

Dah jadi produser filem takkan nak pakai Proton lagi. Kenalah pakai Merc atau BMW. Baru ada kelas. Barulah di respect orang. Aku ni kan produser filem!

Tapi dana FINAS itu dipegang oleh bank SME. Tak pasal-pasal pulak pegawai bank ini lebih seni daripada orang seni. Pelakon yang dicadangkan itu tak sesuai. Tak ada commercial value. Produser diminta gantikan pelakon yang sudah dicadangkan itu kepada pelakon lain pulak. Dah tak boleh tersengih lagi produser dibuatnya.

Satu lagi syarat, produser kena mulakan dulu penggambaran selama 10 hari, barulah pihak bank akan datang ke lokasi untuk penilaian sebelum duit pinjaman itu dikeluarkan.

Congak punya congak nak mulakan dulu penggambaran selama 10 hari, produser kena keluarkan duit sendiri dulu sebanyak empat ratus ribu. Mana nak cekau duit sebanyak itu.

Kalau masa pre-pro dulu produser boleh bawa artis dan krew bincang di restoran mewah, kali ini nak bincang kat warung bawah pokok pun dah payah. Nak telan liur pun terasa perit anak tekak.

Misteri Bulan Madu

Terlanjur gua dah tulis tentang mangsa dalam produksi, gua akan bongkarkan satu cerita bagaimana gua jadi mangsa selepas menyiapkan sebuah skrip telemovie bertajuk 'Misteri Bulan Madu'.

Masa itu gua memang tengah pokai. Jadi bila dapat tawaran menulis skrip itu, memang gua seronok giler. Apa tidaknya! Siap skrip tentulah dapat bayaran.

Mengikut sinopsis yang diberi kepada gua, lokasi cerita ini 70% di New York. Pada mulanya gua pening juga memikirkan macam mana gua nak buat skrip ini, kerana gua sendiri tidak pernah pijak kaki di New York. Tapi apapun kita sebagai penulis mesti kreatif.

Alhamdulillah, akhirnya gua berjaya juga menyiapkan skrip itu. Gua sendiri pun macam tak percaya. Macam penulis skrip Hollywood pulak rasanya. Heheheee...!!

Setelah diserah kepada produser cum pengarah telemovie itu, gua diminta tunggu dulu bayarannya kerana dia hendak dapat kelulusan dari Astro dulu. Gua akur.

Selang 2 minggu gua dipanggil ke Astro untuk sedikit pengolahan jalan ceritanya. Gua pergi ke pejabat Astro masa itu terletak di Jalan Raja Chulan. Gua dibawa berjumpa dengan Dr. Mahadi J. Murad dan Encik Sharafuddin Sharif.

Setelah berbincang panjang lebar, gua terpaksa olah balik skrip itu mengikut garis panduan dan citarasa pihak Astro.

Tak apa. Gua balik rumah terus repair balik. Bila dah siap gua sendiri pergi hantar ke Astro untuk kelulusannya. Mereka setuju dengan pengolahan yang gua buat itu.

Hehehe...seronoknya rasa.

Tapi produser cum pengarah telemovie ini mula main silap mata dengan gua. Bila telefon, dia ada di pejabat. Bila gua pergi untuk ambil bayaran, dia hilang dari pejabat.

Alih-alih gua dapat tahu mereka dah ke New York untuk melakukan penggambaran. Nampaknya gua terpaksalah tunggu dia balik.

Bila dia balik ke Malaysia setelah berjaya melakukan penggambaran, dia masih lagi main silap mata dengan gua. Telefon ada di pejabat, bila pergi dia hilang.

Alih-alih telemovie itu sudah disiarkan di Astro, tapi duit skrip gua tak dapat lagi.

Gua terpaksa pergi mengadu kepada Wendy Wong tuanpunya cerita itu. Wendy terkejut apabila dapat tahu gua masih tak dapat bayaran. Dia marah-marah terus telefon produser cum pengarah itu. Selepas itu Wendy minta pergi ke pejabat produser itu untuk ambil bayaran.

Bila gua pergi sana, seperti biasa produser cum pengarah itu hilang. Tapi dia tinggal sekeping cek untuk gua.

Setiausahanya hulurkan cek itu dan minta gua tandatangan menerimanya. Tapi gua terkejut giler apabila melihat jumlahnya hanya sebanyak seribu lima ratus sahaja.

Gua cuba argue kerana gua dijanjikan bayaran sebanyak lima ribu. Tapi secretary yang berpakaian sexy itu hanya menggonyangkan bahunya sehingga buah beteknya turut bergegar. Katanya itulah bayaran untuk gua.

Nak tak nak, walaupun hati bengkak, gua terpaksa ambil juga. Dengan lemah longlai gua turun dari tangga pejabatnya dan tak semena-mena gua tersilap melangkah membuatkan gua hampir tersungkur.

Kali ini gua dah tak boleh ketawa lagi. Hati tengah bengkak giler....!!!

Sabtu, 6 September 2008

Celupar

Gua diingatkan supaya jangan celupar mulut. Itulah pesanan yang gua terima pagi tadi dari beberapa orang kawan dalam produksi.

Gua hanya jawab, memang blog gua celupar. Kalau gua tak boleh celupar, tak bermaknalah tajuk blog ini celupar. Gua cuma ketawa balik pada mereka. Hehehehe....!!

Dalam dunia sekarang ini mesti ada seseorang yang celupar untuk membongkarkan pekung seseorang yang selalu berniat jahat. Tapi gua tak jahat. Hehehe....

Bila gua celupar, barulah seseorang itu akan sedar apa yang dia dah buat selama ini. Tak gitu? Heheheee....!!

Seronok juga rasanya sesekali ada orang marah. Kalau gua tak celupar, orang itu tak sedar. Hehehe....

Selagi gua di'kencing' dan dimainkan orang, selagi itu gua akan jadi celupar. Biar dia sedar kesilapannya. Hehehe....!

Jadi kepada mereka yang terasa dengan tulisan gua, maafkan gua! Hehheeheee....!!!

Gua akan terus celupar dan celupar selamanya selagi mereka berniat jahat pada gua dan kawan-kawan yang ikhlas. Hehehehe....!!!

Mangsa Dalam Produksi

Apa yang gua tulis kat sini semuanya ada kaitan diri gua sendiri yang sentiasa di 'kencing' oleh pihak produksi selama lebih 25 tahun terlibat dalam industri ini.

Gua pun heran kenapalah produksi kita selalu sangat suka 'kencing'. Dari dulu hingga sekarang perkara ini tetap berlaku. Tak kira apa bangsa, ia terus berlaku. Pentingkan glamour dan duit terus menguasai industri ini. Sehingga 'mengencingkan' orang lain sudah menjadi satu perkara yang lumrah.

Kalau gua nak ceritakan memang berjelar-jelar. Tak habis-habis. Nanti gua akan bongkarkan satu persatu dari awal dulu sampai sekarang.

Semua pembongkaran ini tidak pernah mendapat tempat di media arus perdana. Ini kerana reporter hanya menulis dari pejabat mereka dan berita yang ditulis dari apa yang dilaporkan.

Tetapi gua sendiri dalam produksi. Apa yang gua bongkarkan semuanya berlaku pada diri sendiri atau setidaknya depan mata sendiri.

Daripada produser hingga ke pengarah dan membawa ke PM (pengurus produski), inilah tiga jenis manusia yang gemar 'kencing' orang lain yang terlibat dalam produksi.

Yang menjadi mangsa dari penulis skrip hingga ke krew dan terpalit kepada pelakon. Sehinggakan pelakon extra pun turut menjadi mangsa 'kencing'.

Kalau nak tahu lebih lanjut, ikuti coretan gua seterusnya...

Jumaat, 5 September 2008

Produser kapur duit skrip

Ni gua nak citer tang tipu duit skrip...bukan orang lain, tapi produser sendiri kaki kelentong.

Nak jadikan citer, al-kisah satu production house yang bernama suar channel yang beroperasi kat Shah Alam ambil satu proposal dari gua dan hantar ke RTM. Telemovie genre thriller adventure ini berjaya menarik minat RTM.

Bila dipanggil RTM untuk buat presentation, gua pun berbuehlah mulut terangkan jalan citer cuba menyakinkan panel RTM yang bukan kecil anak. Citer punya citer...maka luluslah story gua tu.

Produser pula kalau boleh tang jugak nak skripnya.

Seminggu lebih gua tak tidur malam maka siaplah skrip itu. Dengan mata yang bengkak dek tak tidur malam, gua hantarlah skrip itu kepada Din Jawa, Executive Produser syarikat itu dengan harapan bolehlah gua ambil duit skrip itu.

Dalam tawar menawar, dari harga RM4 ribu gua setuju dengan harga RM2 ribu lapan ratus. Dia bayar dulu lapan ratus ringgit kerana dia mahu gua olah sikit lagi citer tu.

Gua balik rumah cepat-cepat olah balik skrip itu mengikut apa dia nak. Dua tiga hari dah siap, gua terus hantar dengan harapan dapat duit RM2,000.00 lagi.

Alasan pulak. Katanya RTM nak tengok dulu skrip itu. Bila dah luluskan RTM, dia akan bayar gua.

Tunggu punya tunggu...telefon punya telefon...katanya RTM tak lulus lagi.

Gua heran bin ajaib juga sebab selepas presentation dulu RTM dah keluarkan surat niat. Maknanya bila skrip siap, produser dah boleh mulakan shooting.

Gua lagi ajaib bin heran pulak kali ni bila dah 3 bulan RTM tak lulus lagi, kata si-Din pendek tu!

Alih-alih satu malam tu tengah lepak kat Pandan Indah dengan krew dan artis, dapat tahu skrip gua ni nak shooting dah besok.

Gua cepat-cepat telefon si-pendek tu, tanya apa dah jadi?

Alasannya, dia suruh orang lain repair skrip itu dan baki duit RM2,000/- itu sudah dibayar kepada penulis itu.

Gua menung panjang juga bila mikirkan hal ini....!!! Takkan produser sendiri dah kapur duit penulis skrip.

Bila gua cakap, "lu bukan saja busuk hati, tapi lu memang betul-betul jahat".

Jawabnya, "katalah apa abang nak kata".

Bebas Bersuara

Ini yang gua suka sangat dengan adanya blog. Kita bebas bersuara...bebas melontarkan apa saja yang berbuku di hati. Yalah, kalau disimpan dalam hati...lama-lama kita sendiri akan sasau.

Maka lontarlah suara kamu....

Lontarkan apa yang terpendam!

Kalau dulu kita lontarkan pendapat kepada surat dari pembaca yang akan tersiar dalam surat khabar. Itupun kalau dipilih untuk siaran.

Apa saja yang kita tidak puas hati..., baik sampah depan rumah tak diangkut, longkang tersumbat, urusan di pejabat kerajaan tak dapat layanan dan dikasari, hantar aje surat ke suratkhabar. Kalau nasib baik surat itu keluar kat suratkhabar, adalah pihak yang pantau.

Tapi dengan blogging gua tak kisah sama semua itu dipantau atau tidak. Apa yang penting gua dapat luahkan isi hati dan manusia seluruh dunia tahu.

Kalau ada yang berkongsi rasa, berikanlah komen...kita bincang-bincangkan.