Ahad, 7 September 2008

Terima kasih ZBH


Terlanjur gua celupar, biar gua terus celupar. Biarlah kawan-kawan nak tuduh gua mulut celupar pun. Gua dah tak kisah. Mana tau esok lusa gua mati, gua dah tak boleh celupar lagi.

Tapi celupar gua kali ini ialah hendak mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan penghargaan dari gua kepada ZBH.

Kalau tidak kerana dia, gua tak jadi penulis. Bukan hanya sekadar penulis blog. Tapi penulis kat majalah kereta/motor keluaran CESB. Selepas itu gua jadi columnist ruangan kereta/motor untuk akhbar Utusan Malaysia.

Selepas itu lagi gua berjaya pula jadi penulis skrip drama dan filem. Selepas itu lagi...lagi gua dapat siapkan sebuah manuskrip novel setebal 500 mukasurat. Tapi tak ada penerbit yang sanggup terbitkan novel gua itu. Dan sekarang gua menulis kat blog pula. Merewang dan merapu. Tapi banyak lojiknya.

Gua masih ingat sekitar akhir 80an ketika berkunjung ke pejabat ZBH. Dia beriya-iya minta gua sumbangkan artikel untuk majalah kereta/motor yang bakal diterbitnya. Gua ketawa terkekeh...

Gua cakap dia, lepas sekolah (sekolah rendah aje) gua tak pernah menulis sepucuk surat pun. Girlfren hantar surat pun gua tak pandai nak balas. Bukan tak nak balas. Tapi tak pandai nak tulis. Karangan gua kat sekolah dulu pun penuh cikgu conteng dengan dakwat merah. Itu kerana gua terlampau sangat pandai menulis. Hehehe.....

Bila gua kerja di syarikat korporat pula (bukan keparat tau), semua surat-surat ditulis dan ditaip oleh secretary yang comel. Gua hanya baca dan sign aje...!!

Jadi bila ZBH suruh gua menulis, gua terus ketawa hingga terguling-guling atas kerusi aje tau!

ZBH tak puas hati. Matanya merah menyala merenung gua. Dia marah betul nampaknya. Kemudian dia keluarkan beberapa naskah majalah kereta/motor dari UK dan US. Dia tunjuk kolumn uji-pandu kereta dan motosikal. Katanya yang tulis kolumn itu bukan penulis, tapi mereka itu macam gua.

Tak payahlah gua cerita gua ni orang macam mana. Biar ZBH aje yang tau...

Jadi untuk permulaan, dia minta gua buat satu artikel macam mana gua terlibat dalam satu arena.

Tak payahlah gua cerita arena apa. Biar ZBH aje yang tau...

Balik rumah gua mula menulis. Berdozen juga gua pergi beli kertas kajang kat kedai buku. Hingga Minah comel kat kedai tu ingatkan gua buat kapal terbang kertas.

Diakhirkan celoteh, selepas empat bulan gua berjaya siapkan satu rencana. Gua tersengih-sengih pergi hantar pada ZBH.

Alih-alih bulan sekali lagi rencana gua itu keluar dalam majalah. Gua punyalah seronok hinggakan gua nak beli semua majalah dia terbitkan itu. Tapi tak boleh katanya kerana dia dah ada kontrek dengan pembekal. Dia bagi pada gua tiga naskah majalah itu.

Gua punyalah seronok hinggakan ketika turun tangga pejabatnya gua terasa ada sayap boleh terbang.

Itulah alkisah 20 tahun dulu sehingga gua berjaya menjadi seorang penulis dan mendapat rezeki yang halal daripada hasil karya gua.

Terima kasih banyak Zainal Buang Hussein a.k.a ZBH. Gua kenang dan gua hargai jasa mu hingga ke akhir hayat gua. Wasallam.

Tiada ulasan: