Ahad, 15 Mac 2009

Fenomena Seni


Fenomena Seni siaran RTM1 yang dikendalikan oleh pelakon Rosyam Nor malam tadi telah membawa isu hala tuju filem Melayu dengan tetamu undangan Mansor Putih, seorang pengkritik bebas dan Syed Mohamad, presiden ppfm.

Aku hanya sempat menonton siaran tersebut ketika hampir kepada penghujungnya. Namun apa yang menariknya kritikkan dari Mansor Putih agar Kementerian Pelancongan dibubarkan dan lakukan seperti mana di Amerika Syarikat yang mana mereka tidak ada kementerian untuk tujuan pelancongan, sebaliknya Hollywood yang menjadi nadi dan teras pelancongan kepada negara itu.

Mansor terus menghujah di mana Kementerian Pelancongan hanya membazirkan duit negara dengan membawa penari-penari dan badan budaya membuat persembahan di serata dunia. Ini boleh dilakukan dengan menerbitkan filem-filem bercirikan Malaysia dan tayangkan di seluruh dunia. Di samping menjimatkan kos, industri perfileman negara juga terus berkembang maju.

Tetapi apa yang amat dikesalkan, wakil anak-anak seni di parlimen kita hanya berpeluk tubuh dan membisu seribu bahasa tanpa menperjuangkan rintihan anak-anak seni.

Panggilan daripada seorang penonton di Taiping pula mempertikaikan jalan cerita 'Gerak Khas' yang tidak membantu menaikkan imej polis, sebaliknya hanya klise cinta antara mereka sesama sendiri. Sudah tibalah masanya siri 52 episod yang sudah bertahun-tahun mendapat siaran RTM itu dikaji semula. Takkan masih di takuk lama lagi.