Ahad, 7 November 2010

Jasa RPK Tetap Dalam Ingatan

Malam tadi ketika aku sedang selongkar fail-fail lama, terjumpa sekeping invois tahun 1976. Lama juga aku tenungkan invois yang sudah berusia 34 tahun itu. Tapi ingatan aku masih jelas. Aku masih belum lupa pada tarikh itu.

Invois itu adalah consignment motosikal daripada syarikat milik RPK (Raja Petra Kamarudin) kepada syarikat aku. Beliau melantik syarikat aku sebagai agen motosikal di sebuah daerah secara consignment. Maknanya aku tidak perlu bayar apa-apa sehingga motosikal itu dijual.

Itulah sifat-sifat yang ada pada RPK. Beliau suka membantu kaum Bumiputra dalam perniagaan. Beliau mahu orang kita maju setaraf kaum yang dominan dalam perniagaan di bumi bertuah ini. Beliau sebenarnya banyak membantu aku dalam memulakan perniagaan motosikal dulu.

Tetapi sayang aku tidak dapat bertahan lantaran langsung tidak mendapat bantuan daripada pihak bank, badan berkaun dan juga daripada pihak kerajaan.  Ketika itu motosikal Suzuki, Yamaha, Honda dan Vespa semuanya dimiliki oleh kaum Cina. Untuk mendapat dealership daripada mereka memang payah! Nanti aku ceritakan lebih lanjut pada posting akan datang.

Buat masa ini aku masih terkenangkan pada RPK yang berada di luar negara bagaikan orang buangan. Isterinya, Marina cukup baik pada aku sekeluarga. Setiap kali ke rumahnya mesti disediakan hidangan makanan.

(Lihat tandatangan RPK dalam kurungan merah) 

Aku doakan kesejahteraan pada RPK suami isteri semoga mereka dirahmati Allah s.w.t. Amin.    

Tiada ulasan: